QUEEN ELIZABETH THE QUEEN MOTHER

 Elizabeth Angela Marguerite Bowes-Lyon merupakan susuk tubuh yang tidak asing bagi kerabat diraja Britain. Manakan tidak, baginda merupakan kerabat Britain paling kanan selepas Ratu Elizabeth II sehinggalah kematian baginda pada tahun 2002. Baginda merupakan bonda kepada Ratu Elizabeth II dan Puteri Margaret countess of Snowdon. Berasal dari keluarga bangsawan Scotland menyebabkan baginda tidak kekok menggalas tugas diraja sepanjang menjadi Permaisuri Britain selama 16 tahun.

Baginda merupakan anakanda bongsu daripada 9 beradik kepada Claude Bowes-Lyon, Lord Glamis dan Cecilia Cavendish-Bentinck. Status bangsawan "Lady" yang diwarisi oleh Elizabeth menyebabkan beliau dan keluarganya sering kali menghadiri majlis-majlis yang melibatkan keluarga diraja Britain. Putera Albert, Duke of York yang merupakan anakanda kedua kepada Raja George V telah menaruh hati kepada Elizabeth dan cuba melamar beliau pada tahun 1921. Walaubagaimanapun beliau menolak kerana beranggapan bahawa perkahwinan itu mungkin akan menjadi sesuatu yang rumit dan terpaksa terikat dengan protokol diraja. Permaisuri Mary yang memahami kehendak anakanda lelakinya itu telah cuba memujuk Elizabeth untuk menerima pinangan diraja ini. Ibu Elizabeth berpendapat bahawa kehidupan anakanda bongsunya itu tidak akan mendapat perhatian kerana anakanya itu hanya dipinang oleh anakanda kedua kepada raja pemerintah. Akhirnya setelah menerima nasihat daripada ibunya sendiri, Elizabeth menerima pinangan Putera Albert. Perkahwinan Diraja mereka telah diadakan pada tahun 1923 di Gereja Westminster Abbey. Serenta dengan perkahwinan itu, Elizabeth dikurniakan dengan gelaran bangsawan "Duchess of York" oleh ayahanda mertuanya, Raja George V.

Kehidupan Elizabeth setelah berkahwin tidak banyak berubah. Agak sunyi daripada media kerana tumpuan lebih terarah kepada kekanda suaminya, Putera Edward yang masih lagi bujang ketika itu. Elizabeth sering menemani Putera Albert dalam melakukan tugas diraja dan lawatan ke negara-negara jajahan Britain. Kehidupan bahagia pasangan ini diserikan dengan kehadiran dua anakanda perempuan. Pada tahun 1936 Britain berkabung atas kemangkatan Raja George V. tempat baginda digantikan oleh Putera Sulung baginda, Putera Edward. Monarki Britain akhirnya dikejutkan dengan keputusan Raja Edward yang ingin mengundur diri dari memerintah Britain dan menyerahkan takhta kepada adindanya iaitu Putera Albert. Keputusan ini sudah tentu mengejutkan Albert dan juga Elizabeth. Namun demi menyelamatkan sistem monarki Britain dari ditimpa masalah disebabkan tindakan kekandanya yang turun takhta hanya kerana ingin berkahwin dengan seorang janda, Albert akhirnya menerima jawatan sebagai Raja Britain yang baru. Suami baginda menggunakan gelaran Raja George VI. Daripada seorang yang hanya berstatus "Duchess" gelaran Elizabeth bertukar kepada "Queen".

Potret rasmi pertabalan Raja George VI bersama keluarga baginda. Permaisuri Elizabeth, Puteri Elizabeth dan Puteri Margaret

Setelah suami baginda ditabalkan menjadi Raja Britain yang baru, baginda secara rasmi menjadi permaisuri negara bagi Britain dan juga segala jajahan takluknya.  Pasangan diraja ini juga merupakan Maharaja dan Maharani India yang terakhir sebelum India menjadi sebuah negara merdeka pada tahun 1948. sebagai permaisuri baginda banyak mengiringi Raja George VI dalam melakukan lawatan diraja dan kerja amal. Ramai rakyat Britain sangat menghormati baginda disebabkan oleh sifat peribadi baginda yang mudah didekati oleh masyarakat. Permaisuri Elizabeth sentiasa menyokong suaminya dan ketika Britain berada dalam zaman perang dunia kedua baginda sentiasa memberi sokongan kepada rakyat Britain untuk terus bersatu bangkit membina semula negara Britain yang ketika itu diserang oleh tentera nazi Jerman. Selepas perang tamat, baginda bersama suaminya keluar bertemu rakyat, berjalan di cela-celah sisa bangunan yang runtuh dan bersalaman dengan rakyat yang terselamat dan berjanji akan membantu meletakkan Britain sebagai empayar yang kuat. Setelah 16 tahun menggalas jawatan permaisuri, status itu akhirnya berubah apabila suami baginda mangkat pada tahun 1952 semasa beradu di Balmoral Castle. Ketika itu, Permaisuri Elizabeth berusia 51 tahun. Anakanda sulungnya, Puteri Elizabeth diangkat menjadi Ratu Britain dengan gelaran Ratu Elizabeth II. Bagi mengelakkan kekeliruan rakyat mengenai gelaran baginda berdua berikutan nama yang sama, anakanda baginda memperkenankan gelaran "the queen mother" kepada bondanya itu. Permaisuri Elizabeth bergelar "Queen Elizabeth the Queen Mother" manakala Ratu Elizabeth bergelar "Queen Elizabeth II". Kebiasannya baginda dibahasakan sebagai "Queen Mother" atau "Queen Mum". Seperti sebelum ini, baginda dilihat sentiasa menemani anakanda baginda dalam menghadiri pelbagai majlis diraja dan juga majlis negara. Permaisuri Elizabeth mangkat pada tahun 2002 dalam usia 101 tahun 7 bulan selepas kemangkatan anakanda keduanya, Puteri Margaret.

Permaisuri Elizabeth dan Raja George VI melawat kawasan yang terjejas selepas Britain dibom oleh Tentera Nazi Jerman

19 Ogos 1947 potret dirakam sempena majlis pertunangan antara Puteri Elizabeth dan Leftenan Philip Mounbatten

Potret keluarga 1984 semasa upacara "Christenning" bagi Putera Harry.
Permaisuri Elizabeth (Queen Elizabeth the Queen Mother), Ratu Elizabeth II (Queen Elizabeth), Putera William, Putera Harry, Mendiang Puteri Diana dan Putera Charles

4 Nov 1992 baginda tetap menjadi keutamaan dalam majlis negara. Baginda bersama Ratu Elizabeth II dan Putera Philip sewaktu Majlis Santapan Diraja di Istana Buckingham sempena lawatan Sultan Brunei dan Raja Isteri ke London.

Keranda Permaisuri Elizabeth diusung keluar dari gereja Westminster Abbey sebelum dibawa ke St George Chapel di Windsor castle untuk disemadikan bersebelahan suaminya Raja George VI dan anakanda bongsunya, Puteri Margaret. sebelum mangkat, baginda mewasiatkan agar bunga ros putih yang diletakkan di atas keranda baginda diletakkan di tugu peringatan pahlawan gereja Westminster Abbey tradisi yang sama dilakukan baginda 79 tahun yang lalu apabila baginda meletakkan jambangan bunga perkahwinan di tugu tersebut.
 
Her Majesty Queen Elizabeth The Queen Mother
4 Ogos 1900 - 30 Mac 2002


Ulasan

Catatan Popular