SINGGAHSAN KERAJAAN MALAYSIA



Foto: Buku Istiadat Pertabalan SPB YDPA XV,Jabatan Penerangan Malaysia
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk Jawatankuasa Istiadat Pertabalan.
B.004 (B.M/B.I/JAWI) April 2017 (002.5)

Singgahsana merupakan lambang kebesaran takhta kerajaan sesbuah negara. Raja yang memerintah akan bersemayam di atas singgahsana dengan penuh berdaulat. Menurut Kamus Dewan, Singgahsana membawa erti sebuah kerusi tempat raja bersemayam. Singgahsana yang tersergam indah di Balairung Seri Istana Negara merupakan singgahsana yang ketiga dibina khas oleh kerajaan Malaysia untuk persemayaman Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong (http://monarkidiraja.blogspot.my/2015/06/singgahsana-merupakan-tempat-duduk-bagi.html). Singgahsana ini di salut dengan warna kuning keemasan dan dilapik dengan kain baldu bersulam dengan jata negara Malaysia. Di atas singgahsana ini telah dibuat satu struktur binaan yang gah dan mempunyai nilai kesenian melayu yang tinggi mutunya. Kayu jati yang sememangnya terkenal dengan jolokan "raja kayu" telah dibawa dari Hutan Simpan Negeri Perlis untuk digunakan dalam proses membina singgahsana ini. Singgahsana ini telah dihisai dengan motif ukuran yang menggabungkan ciri-ciri awan larat dan ditaburi dengan motif bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan. Kesemua motif-motif ini diserikan dengan salutan berwarna keemasan bagi menimbulkan ciri keagungannya.

Singgahsana ini berketinggian 4.9 meter dan 11.0 meter lebar. Keseluruhan reka bentuk singgahsana ini melurus ke atas untuk meberi makna bahawa segala makhluk dan umat manusia yang dijadikan oleh tuhan hendaklah sentiasa mengingati dan menghormati pencipta alam iaitu ALLAh SWT. Pada bahagian atas singgahsana terukir sepotong ayat Al-Quran iaitu:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (QS Ali Imran ayat 26).

99 nama Allah terukir di bahagian atas singgahsana berserta dengan ayat Al-Quran dan tulisan Allah serta Nabi Muhammad SAW

Pada singgahsana yang menjadi tempat Seri Paduka bersemayam, juga terukir 99 nama Allah dan ayat-ayat al-Quran dengan gaya khat selain banyak lagi ukiran ayat suci di kebanyakan ruang di Istana Negara.Ukiran berkenaan dihasilkan oleh beberapa pengukir terkenal dari Terengganu dan Kelantan yang diakui sejak zaman-berzaman mempunyai hasil kerja bermutu tinggi.

Tiang-tiang yang menyokong binaan di atas singgahsana ini diukir dengan ukiran tradisional seluruh Malaysia iaitu corak padi siku kelawar dan corak berjalur. Bilangan anak tangga untuk menaiki singgahsana ini melambangkan kedaulatan seseorang raja pemerintah. Tujuh Tiang dan Tujuh anak tangga melambangkan tujuh lapisan syurga dan tjuh lapisan langit manakala 5 tiang lurus di bahagian belakang melambangkan lima prinsip Rukun Negara iaitu  Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan. Pada bahagian atas singgahsana terukir ayat Al-Quran dan tulisan Allah SWT serta Muhammad SAW. Singgahsana ini juga dipayungi dengan struktur berbentuk khubah emas melambangkan rakyat berbilang bangsa di negara ini yang menyokong kepada sistem Raja Berpelembagaan. Kubah singgahsana ini diperbuat daripada gentian kaca dan dicat dengan cat emas. Bahan binaan gentian kaca dipilih kerana ringan, mudah dibentuk serta memudahkan proses pemasangan. Di tengah-tengah singgahsana tersergam lambang peribadi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Struktur binaan singgahsana ini dihiasi dengan langsir kuning keemasan bagi menyerlahkan lagi tempat persemayaman baginda tuanku.

Balairung Seri ini mampu memuatkan 800 orang tetamu untuk satu-satu istiadat berbanding Balairung Seri Istana Negara Lama yang agak kecil ruangnya. Setakat ini hanya dua orang YDPA bersemayam di singgahsana ini iaitu Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Sultan Muhammad V.  Balairung Seri ini hanya digunakan untuk istidat-istidat rasmi sahaja seperti:
  • Istiadat Pertabalan YDPA, 
  • Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan YDPA dan Timbalan YDPA
  • Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan Perdana Menteri
  • Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia Perdana Menteri
  • Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang Dan Pingat Sempena Hari Keputeraan YDPA
  • Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang Dan Pingat Wilayah Persekutuan Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan
  • Istiadat Penghormatan Terakhir YDPA dan RPA
 Sultan Muhammad V bersemayam di singgahsana sewaktu menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang Dan Pingat Wilayah Persekutuan Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 9 September 2017

Pandangan sisi sebelah kanan Singgahsana

Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai SPB Yang di-Pertuan Agong XV dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara

 
Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai SPB Yang di-Pertuan Agong, Al Marhum Al-Sultan Al-Mu'tassimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah

SPB Yang di-Pertuan Agong XIV, Al Marhum Al-Sultan Al-Mu'tassimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Raja Permaisuri Agong XIV Tuanku Hajah Haminah Hamidun bersemayam di singgahsana kerajaan

Singgahsana yang sama turut diletakkan di Parlimen untuk merasmikan Istiadat Pembukaan Parlimen
Kelihatan YDPA bersemayam di singggahsana bagi menyampaikan titah ucapan diraja bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-13.

Hasil seni binaan singgahsana ini sebenarnya adalah hasil seni anak tempatan dari syarikat Pakatan Jurukir Tradisional Sdn. Bhd. Proses mereka bentuk Singgahsana bermula pertengahan 2008, manakala proses fabrikasi bermula pada Mei 2010 dan siap sepenuhnya pada September 2011. Syarikat ini sememangnya terkenal dengan hasil binaan tradisional yang berkualiti tinggi antaranya Singgahsana Istana Negara lama pada tahun 1980, Singgahsana Istana Arau 1985, Pintu masuk Istana Alam Shah 2003, Lobi Istana Melawati, Putrajaya 2003, Istana Melaka 2005, Istana Iskandariah 2006, Singgahsana Istana Anak Bukit 2006 dan Singgahsana Istana Syarqiyyah 2010.




Sumber:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm
Buku Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulis Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, Jabatan Penerangan MalaysiaKementerian  Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk Jawata nkuasa Istiadat Pertabalan.B.004 (B.M/B.I/JAWI) April 2017 (002.5)


Ulasan